Belanja Berhemat Bahagian 2

Petua #3: BERKONGSI makanan

dinner-1246287_640.jpg

Ramai pasangan yang bekerja sepenuh masa tidak mempunyai masa untuk memasak. Begitu juga dengan keluarga yang mempunyai anak kecil. Selalunya mereka akan makan di luar atau memesan khidmat katering secara mingguan atau bulanan. Bagi yang kerap makan di luar mesti terasa akan beban kos makanan yang saban hari meningkat. Kadang-kadang makanan yang dipesan tidak termakan dan membazir begitu sahaja.

Bagi yang sering makan di luar, anda digalakkan berkongsi makanan. Jika makan berdua, cuba memesan satu pembuka selera dan satu hidangan utama untuk dikongsi berbanding dengan dua jenis hidangan setiap seorang. Dengan berbuat demikian, kita akan makan apa yang perlu sahaja dan tidak akan berasa terlalu kenyang sampai senak perut. Bil makanan juga akan menjadi separuh! Namun demikian, jika masih berasa lapar anda bolehlah memesan hidangan tambahan. Sekiranya tidak habis makan, disarankan agar lebihan makanan dibawa pulang ke rumah untuk dimakan keesokan harinya untuk mengelakkan pembaziran.

Satu lagi cadangan untuk mengurangkan bil makanan adalah dengan tidak memesan air berperisa atau air berkarbonat. Jika anda perasan, harga minuman kadang-kadang menyamai atau lebih mahal daripada harga makanan. Selain menjimatkan duit, pengambilan kalori berlebihan juga boleh dikurangkan sekali gus menyumbang ke arah pemakanan seimbang dan sihat. Bukankah ini satu situasi yang menguntungkan kesihatan badan dan kewangan kita pada masa yang sama?

Petua #4: TANAM sendiri tumbuh-tumbuhan

aromatic-1851366_640

Makanan Malaysia banyak menggunakan rempah dan herba seperti cili, halia, daun kari, serai, lengkuas, daun kesum, kunyit dan banyak lagi. Kebanyakan herba dan rempah dapat ditanam sendiri di dalam kawasan rumah kita. Selain daripada itu harga sayur-sayuran juga tidak menentu dipengaruhi faktor cuaca, peristiwa dan sebagainya. Sayur-sayuran seperti kobis, kangkung, tomato dan timun juga boleh ditanam sendiri dengan mudah dan cepat membuahkan hasil.

Idea ini bukan sahaja boleh dilaksanakan oleh penduduk rumah atas tanah malahan sesuai untuk penghuni pangsapuri dan kondominium. Ruangan balkoni sahaja sudah cukup untuk menanam sesetengah sayur-sayuran, rempah dan herba. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sosial Facebook sesetengah persatuan misalnya Malaysia Gardeners dan TTDI Edible Project. Selain menjimatkan kos, tumbuh-tumbuhan yang ditanam sendiri bebas daripada racun serangga.

Petua #5: CUCI SENDIRI kereta

Rata-rata setiap rumah di Malaysia mempunyai sekurang-kuranganya sebuah atau dua buah kereta. Semasa saya membeli kereta pertama saya iaitu kira-kira sedekad yang lalu, upah yang dikenakan di pusat mencuci kereta untuk mencuci dan memvakum kereta hanyalah RM5 untuk kereta kecil seperti Perodua Kancil dan RM7 untuk kereta sedan 4 pintu. Lama-kelamaan ia meningkat kepada RM 10 – RM 12 bagi kereta sedan. Tahun ini pula harga minimum ialah RM 12 dan mencecah sehingga RM15 di sesetengah tempat!

Itulah sebabnya tahun ini saya membuat keputusan untuk mencuci sendiri kereta saya. Selain daripada menjimatkan duit ia juga senaman yang bagus untuk diri. Bagi keluarga dengan anak kecil, aktiviti mencuci kereta boleh dijadikan masa untuk mengeratkan hubungan dengan anak-anak. Satu aktiviti mudah ini memberikan tiga manfaat.

Mungkin ada yang masih tidak yakin dengan petua-petua yang dikongsikan dalam ruangan ini. Ramai juga mungkin tertanya-tanya, “Banyak ke duit yang boleh dijimatkan dengan cara-cara ini?” Bak kata orang tua-tua, belum cuba belum tahun. Penjimatan duit harus dilihat daripada sudut jangka masa panjang. Mungkin penjimatan RM 20 seminggu tampak kecil kepada segelintir tetapi dalam sebulan ia menjadi RM80 dan dalam setahun meningkat kepada RM960. Duit ini sudah cukup untuk membayar yuran sekolah anak-anak atau untuk membeli barangan persekolahan apabila tiba musim persekolahan baru.

Anda masih ragu-ragu?

Belanja Berhemat Bahagian 1

Ramai yang mengeluh apabila melihat baki akaun yang semakin berkurangan menjelang pertengahan bulan. Bagi sesetengah daripada kita “musibah” ini mungkin berlaku seawal minggu pertama dalam bulan baharu!

Tidak kurang juga yang bingung memikirkan, “Ke mana pergi duit aku? Rasanya tak banyak belanja pun bulan ini.”

Ini biasa berlaku apabila kita tidak merekodkan setiap perbelanjaan harian dan bulanan. Rekod perbelanjaan harian sangat penting supaya maklumat ini boleh dianalisa pada penghujung bulan. Berdasarkan hasil analisa ini, kita boleh menentukan sekiranya ada perbelanjaan boros yang boleh dielakkan pada masa hadapan. Selain merekodkan perbelanjaan harian terdapat beberapa cara untuk berbelanja dengan hemat.

Petua #1: Beli Apa yang PERLU Sahaja

supermarket-435452_640.jpg

Hobi utama rakyat Malaysia adalah rata-rata menghabiskan masa di pusat membeli-belah. Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai muslihat jualan seperti “promosi terhebat”, “terlajak laris” dan “harga runtuh, hari terakhir”. Memang susah untuk mengawal diri apabila berhadapan dengan strategi pemasaran sebegini apatah lagi dengan kehadiran empat Karnival Jualan Mega Malaysia (“Malaysia Mega Sale”) dalam setahun! Tidak hairanlah jika ada yang hilang kawalan diri apabila  membeli-belah sampai berhutang keliling pinggang.

Penting untuk kita berfikir sejenak sebelum membeli produk yang kononnya 50% lebih murah. Cuba tanya diri anda soalan-soalan berikut sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu:

  • Barangan ini merupakan keperluan (“necessity”) atau kehendak (“wish / desire”)?
  • Jika ia satu keperluan, adakah anda akan menggunakannya dalam masa 6 bulan akan datang?

Jika anda menjawab “TIDAK” kepada kedua-dua soalan di atas, maka sudah jelas keputusan yang perlu diambil. Dengan cara ini anda akan sedar terdapat banyak barangan yang kita tidak perlukan sebenarnya. Pada penghujung setiap bulan, cuba jumlahkan harga kesemua barangan “kehendak” yang tidak dibeli kerana anda berjaya menahan godaan membeli. Anda akan terkejut melihat jumlah wang yang berjaya dijimatkan!

Elakkan juga membeli barangan keperluan secara berlebihan atau pukal. Slogan iklan (“tag line”) popular penjual adalah “Beli satu, Percuma satu” atau “Beli satu, Produk kedua dapat diskaun 50%!” Sesetengah barangan seperti makanan atau barang basah tidak boleh disimpan lama kerana mempunyai tarikh tamat tempoh (tarikh luput /guna sebelum/ “expiry date”). Tarikh tamat tempoh untuk produk sebegini perlu diperiksa sebelum membuat belian.

Petua #2: Beli Produk Berkualiti

Pembeli selalu tertarik untuk membeli barangan promosi tetapi bukan semua barangan yang dijual murah itu berkualiti. Sebelum membeli sesuatu produk, cuba periksa kualiti produk tersebut dan lihat tempoh jaminan yang diberi (jika ada). Jika perlu, cuba layari internet untuk mendapatkan ulasan dalam talian daripada pengguna lain. Kadang-kadang barangan murah sebegini cepat rosak dan perlu dibeli semula selang beberapa bulan. Dalam dunia sekarang yang didorong pengguna, ini merupakan helah pengeluar atau penjual untuk menghasilkan produk yang mempunyai tempoh simpan / hayat simpan (“shelf life”) pendek supaya produk-produk mereka sentiasa terjual.

Pembeli dinasihatkan supaya berwaspada dengan produk / jenama sebegini. Lebih baik berbelanja lebih sedikit untuk membeli produk yang bermutu dan tahan lebih lama. Jadilah pengguna bijak.

Bersambung…..

 

Aktiviti Pada Hujung Minggu

Setiap kali tiba hari minggu atau cuti umum mesti anak-anak meminta dibawa keluar berjalan-jalan. Salah satu keistimewaan negara kita ialah banyak hari kelepasan am dalam setahun. Tambahan pula terdapat banyak cuti panjang hujung minggu pada tahun ini disebabkan oleh cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat atau hari Isnin.

Walaupun keadaan ekonomi sekarang agak gawat, ibu bapa mesti berasa kasihan melihat muka anak-anak kebosanan atau sedih apabila tidak dibawa keluar pada hari cuti. Ada juga ibu bapa yang ketandusan idea mencari aktiviti yang boleh dilakukan oleh sekeluarga pada hujung minggu.

Beriadah merupakan aktiviti paling senang dan murah yang boleh dilakukan oleh semua. Tambahan pula terdapat banyak tempat rekreasi di sekitar Lembah Klang yang boleh dilawati secara percuma atau pada harga yang minimum. Mari kita lihat beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebagai destinasi riadah pada hujung minggu.

  1. Taman KLCC, Kuala Lumpurklcc-652420_640

 Siapa tidak kenal mercu tanda terkenal di Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas. Taman awam seluas 20 hektar ini terletak berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas dan pusat membeli-belah Suria KLCC. Taman KLCC mempunyai pelbagai tarikan untuk semua golongan masyarakat. Kanak-kanak boleh bermain di taman permainan kanak-kanak atau bermain air di dalam kolam randuk (“wading pool”) dibawah pengawasan ibu bapa. Trek joging dan trek jalan kaki boleh digunakan oleh anak-anak muda dan ibu bapa untuk berjoging atau berjalan. Setelah letih bermain atau berjoging, anda boleh berehat di gazebo atau di atas bangku yang disediakan sambil menikmati pemandangan di sekitar taman. Tarikan utama Taman KLCC ialah Tasik Simfoni (“Lake Symphony”), sebuah tasik buatan manusia yang terdiri daripada dua air pancut. Tasik Simfoni diaturcara supaya dapat menghasilkan 150 animasi dramatik. Pertunjukan Air Simfoni Muzikal berlangsung dua kali sehari iaitu pada waktu tengah hari dan malam. Pertunjukan air pancut pada waktu malam sangat indah kerana diserikan dengan lampu berwarna-warni.

  1. Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur

 Taman tasik yang dibuka pada waktu siang ini sangat popular dalam kalangan warga kota. Taman seluas 95 hektar ini mempunyai tasik yang besar sebagai tarikan utamanya. Terdapat sesuatu ketenangan yang tidak dapat digambarkan apabila berjoging di sekeliling tasik pada waktu matahari terbit. Bagi yang gemar menunggang basikal tersedia lorong basikal untuk anda. Terdapat juga sukan air yang lain di kawasan tasik tetapi aktiviti sebegini berbayar.

  1. Taman Botani Negara Shah Alam, Shah Alam

Taman ini beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang setiap hari Selasa hingga Ahad. Taman yang terletak di Bukit Cahaya Seri Alam ditutup setiap hari Isnin kecuali cuti sekolah atau kelepasan am. Taman Haiwan, Rumah Iklim Sederhana Empat Musim dan Taman Konservasi Herba & Tumbuhan Ubatan merupakan antara tarikan di sini. Anak-anak dapat mempelajari mengenai flora dan fauna sambil berseronok. Terdapat juga kemudahan penginapan bertemakan rumah kampung yang dilengkapi dengan kemudahan seperti peralatan asas dan tempat barbeku. Budak-budak mesti teruja dapat berbarbeku di dalam hutan.

  1. Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya

Kawasan hutan seluas 100 hektar ini terletak berhampiran dengan SMK La Salle, Petaling Jaya. Terdapat banyak laluan mendaki yang boleh dilalui di dalam hutan ini. Bagi yang pertama kali melawati tempat ini, anda tidak perlu risau akan sesat jika tidak tahu laluan mana untuk diikuti. Anda boleh  ikut serta mana-mana pendaki di sana yang rata-rata sangat mesra dengan semua. Anda boleh memilih sama ada hendak berjalan atau berjoging. Sekiranya penat berjalan anda boleh berehat seketika sambil menikmati pemandangan indah KL dan PJ pada ketinggian tertinggi Bukit Gasing iaitu 160m.

Aktiviti beriadah bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil dapat mendedahkan anak-anak kepada gaya hidup sihat. Mereka juga dapat menghargai keindahan alam semula jadi dan kepentingan  alam sekitar dalam hidup. Ibu bapa pun dapat menarik nafas lega kerana tidak perlu berbelanja lebih tetapi dapat menggembirakan anak-anak.

Jadi mana destinasi pilihan anda pada hujung minggu ini?

First blog post

Welcome to my blog: What a life! This title was coined in 2007 with a group of like minded friends and it has taken me 10 years to finally put it in writing. This blog will be bilingual and include a mix of professional and light-hearted articles.

Stay tuned.