Aktiviti Pada Hujung Minggu

Setiap kali tiba hari minggu atau cuti umum mesti anak-anak meminta dibawa keluar berjalan-jalan. Salah satu keistimewaan negara kita ialah banyak hari kelepasan am dalam setahun. Tambahan pula terdapat banyak cuti panjang hujung minggu pada tahun ini disebabkan oleh cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat atau hari Isnin.

Walaupun keadaan ekonomi sekarang agak gawat, ibu bapa mesti berasa kasihan melihat muka anak-anak kebosanan atau sedih apabila tidak dibawa keluar pada hari cuti. Ada juga ibu bapa yang ketandusan idea mencari aktiviti yang boleh dilakukan oleh sekeluarga pada hujung minggu.

Beriadah merupakan aktiviti paling senang dan murah yang boleh dilakukan oleh semua. Tambahan pula terdapat banyak tempat rekreasi di sekitar Lembah Klang yang boleh dilawati secara percuma atau pada harga yang minimum. Mari kita lihat beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebagai destinasi riadah pada hujung minggu.

  1. Taman KLCC, Kuala Lumpurklcc-652420_640

 Siapa tidak kenal mercu tanda terkenal di Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas. Taman awam seluas 20 hektar ini terletak berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas dan pusat membeli-belah Suria KLCC. Taman KLCC mempunyai pelbagai tarikan untuk semua golongan masyarakat. Kanak-kanak boleh bermain di taman permainan kanak-kanak atau bermain air di dalam kolam randuk (“wading pool”) dibawah pengawasan ibu bapa. Trek joging dan trek jalan kaki boleh digunakan oleh anak-anak muda dan ibu bapa untuk berjoging atau berjalan. Setelah letih bermain atau berjoging, anda boleh berehat di gazebo atau di atas bangku yang disediakan sambil menikmati pemandangan di sekitar taman. Tarikan utama Taman KLCC ialah Tasik Simfoni (“Lake Symphony”), sebuah tasik buatan manusia yang terdiri daripada dua air pancut. Tasik Simfoni diaturcara supaya dapat menghasilkan 150 animasi dramatik. Pertunjukan Air Simfoni Muzikal berlangsung dua kali sehari iaitu pada waktu tengah hari dan malam. Pertunjukan air pancut pada waktu malam sangat indah kerana diserikan dengan lampu berwarna-warni.

  1. Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur

 Taman tasik yang dibuka pada waktu siang ini sangat popular dalam kalangan warga kota. Taman seluas 95 hektar ini mempunyai tasik yang besar sebagai tarikan utamanya. Terdapat sesuatu ketenangan yang tidak dapat digambarkan apabila berjoging di sekeliling tasik pada waktu matahari terbit. Bagi yang gemar menunggang basikal tersedia lorong basikal untuk anda. Terdapat juga sukan air yang lain di kawasan tasik tetapi aktiviti sebegini berbayar.

  1. Taman Botani Negara Shah Alam, Shah Alam

Taman ini beroperasi dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang setiap hari Selasa hingga Ahad. Taman yang terletak di Bukit Cahaya Seri Alam ditutup setiap hari Isnin kecuali cuti sekolah atau kelepasan am. Taman Haiwan, Rumah Iklim Sederhana Empat Musim dan Taman Konservasi Herba & Tumbuhan Ubatan merupakan antara tarikan di sini. Anak-anak dapat mempelajari mengenai flora dan fauna sambil berseronok. Terdapat juga kemudahan penginapan bertemakan rumah kampung yang dilengkapi dengan kemudahan seperti peralatan asas dan tempat barbeku. Budak-budak mesti teruja dapat berbarbeku di dalam hutan.

  1. Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya

Kawasan hutan seluas 100 hektar ini terletak berhampiran dengan SMK La Salle, Petaling Jaya. Terdapat banyak laluan mendaki yang boleh dilalui di dalam hutan ini. Bagi yang pertama kali melawati tempat ini, anda tidak perlu risau akan sesat jika tidak tahu laluan mana untuk diikuti. Anda boleh  ikut serta mana-mana pendaki di sana yang rata-rata sangat mesra dengan semua. Anda boleh memilih sama ada hendak berjalan atau berjoging. Sekiranya penat berjalan anda boleh berehat seketika sambil menikmati pemandangan indah KL dan PJ pada ketinggian tertinggi Bukit Gasing iaitu 160m.

Aktiviti beriadah bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil dapat mendedahkan anak-anak kepada gaya hidup sihat. Mereka juga dapat menghargai keindahan alam semula jadi dan kepentingan  alam sekitar dalam hidup. Ibu bapa pun dapat menarik nafas lega kerana tidak perlu berbelanja lebih tetapi dapat menggembirakan anak-anak.

Jadi mana destinasi pilihan anda pada hujung minggu ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s